Hadapi ujian dengan keimanan





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





TUTONG, Ahad, 3 Mei. - Di dalam kehidupan ini, kita tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian. Apabila disebut tentang ujian, kita sering cenderung kepada perkara yang buruk atau musibah yang menimpa. Namun hakikatnya, ujian terbahagi kepada dua bentuk iaitu ujian berupa nikmat dan ujian berupa musibah.


Kedua-dua bentuk ujian ini menjadi ukuran keimanan seseorang dalam menghadapinya dan menjalaninya, yang seterusnya dapat menghasilkan perubahan sama ada ke arah kebaikan ataupun sebaliknya.


Setiap ujian yang dihadapi juga berbeza antara satu sama lain, kerana Allah Subhanahu Wata'ala tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, sebahagian daripada ayat 286, yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang (dengan kewajipan) melainkan apa yang terdaya olehnya".


Dia mendapat pahala daripada kebaikan yang dilakukannya dan dia juga menanggung dosa daripada kejahatan yang dilakukannya.


Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Hidup dan Ujian Berpisah Tiada' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Salihan bin Samra, bagi menyerikan Malam Munajat Kali Ke-227 anjuran KHEU pada malam tadi.


Juga menyerikan Malam Munajat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Menyemarakkan acara munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Kampung Lubok Pulau, Masjid Kampung Tanjong Maya, Masjid Kampung Penapar dan Masjid Kampung Bukit Udal di Daerah Tutong; serta beberapa buah masjid di tiga daerah lain.


Turut menyertai ialah warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.


Atur cara munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Tanjong Maya, Tutong, Awang Mohd. Azaman Shah bin Haji Sahari, selaku Penasihat Takmir Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong, bersiaran dari masjid berkenaan.


Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Belia Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong, Awang Muhammad 'Afyf Zayyan bin Mohammad Hamirundin, yang merupakan penuntut Mahad Islam Brunei Tutong.


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Ahmad Yani Zulkarnain bin Haji Yusof.


Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Awang Muhammad Muiz Izuddin bin Pauji bersama belia-belia dari Masjid Kampung Lubok Pulau, Masjid Kampung Tanjong Maya, Masjid Kampung Penapar, dan Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong.


Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Suhud bin Haji Razali.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: 'http://tiny.cc/munajatkheu'.

 

Close